www.bicarajutawan.com

www.bicarajutawan.com

Wednesday, December 16, 2009

PNB Cari Jalan Bolehkan Pelabur Namakan Waris

JOHOR BAHARU, 16 Dis (Bernama) -- Pelabur-pelabur amanah saham yang dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) kini tidak dapat menamakan waris disebabkan peruntukan peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Kita sedang cari jalan bagi memenuhi kehendak pelabur tanpa melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," kata Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman kepada pemberita selepas merasmikan Promosi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) peringkat negeri di sini Rabu.

Pada satu sesi soal jawab bersama orang ramai semasa pelancaran itu, beliau telah ditanya sama ada pelabur amanah saham yang dikendalikan oleh PNB boleh menamakan waris mereka seperti yang dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji.

Hamad Kama Piah berkata apabila seseorang pelabur mati dan meninggalkan saham bernilai RM600,000 ke bawah, warisnya boleh memohon pembahagian pusaka mengikut Ordinan (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil, 1955 di pejabat Pentadbir Tanah, dan sekiranya melebihi jumlah itu, waris boleh memohon pembahagian pusaka di Pejabat Pentadbir Pusaka, di Mahkamah Tinggi atau Pemegang Amanah Raya.

Mengenai promosi Amanah Saham 1Malaysia, beliau berkata program itu adalah yang ketiga selepas Kelantan dan zon utara yang meliputi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada Oktober dan November lalu.

Promosi di negeri Johor digerakkan sejak 11 Dis lalu meliputi Tangkak, Muar, Batu Pahat, Parit Raja, Kluang dan Skudai.

Ia akan diteruskan ke Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.



-- BERNAMA

No comments:

Blog Widget by LinkWithin